KUALA LUMPUR 13 Mei – Pelajar, ibu atau bapa tunggal dan suri rumah dipelawa untuk menyertai pelbagai kursus kemahiran dan keusahawanan anjuran Pusat Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Rompin, Pahang.
Pengurus Projek ECER Rompin, Surain Kanda berkata, pihaknya membuka pengambilan baharu bagi tahun ini dengan menawarkan kursus panel solar, fotografi dan penggunaan dron, pendawaian eletrik dan penyaman udara, katering dan bakeri secara percuma.
“Terdapat juga kursus kecantikan, penjagaan rambut, fesyen, pengurusan pelancongan dan bijak niaga kepada yang berminat.
“Peserta akan menjalani kursus selama sembilan bulan termasuk latihan industri yang akan bermula pada 22 Jun nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya, kursus ini terbuka kepada individu berusia 18 hingga 45 tahun yang tidak bekerja mahupun sedang bekerja tertakluk kepada terma dan syarat.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai kursus ini boleh terus menghubungi Shazahida di talian 017-955 7706 atau 09-414 7575. – UTUSAN ONLINE