DI perpustakaan mana anda boleh bersembang, bergurau dan ketawa gembira? Penat membaca, boleh bermain di bawah pokok dan tidak perlu risau ada orang menegur supaya senyap.
Inilah yang ditawarkan di Library Cikgu, perpustakaan kecil dalam van lama berwarna kelabu di Desa Impian, berhampiran Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh, Selangor.
Perpustakaan comel ini diparkir di depan rumah pemiliknya, Ahmad Sotan, 64, pesara guru yang masih begitu bersemangat memberikan khidmat kepada masyarakat dan mendidik kanak-kanak melalui cara unik.
Setiap hari, tepat jam 10 pagi, Ahmad dan isterinya, Siti Salamah Sarbini sudah sedia menunggu kedatangan pengunjung ke perpustakaan mini mereka yang kini mempunyai lebih 1,000 buku pelbagai genre hasil sumbangan pengusaha kedai buku serta penduduk sekitar.
Oleh kerana ruangan yang terhad, hanya beberapa ratus buku diletakkan di dalam perpustakaan ini dan ditukar serta ditambah dari semasa ke semasa.
Walaupun kecil, ia mengujakan kerana menyajikan pelbagai bahan bacaan daripada novel, buku cerita kanak-kanak, agama, motivasi, kerjaya hinggalah buku resipi yang membuatkan pengunjung leka membeleknya.
“Sebenarnya barang yang ada di perpustakaan ini adalah barangan terpakai. Van lama ini disumbangkan oleh seorang penduduk di Paya Jaras. Seorang mekanik bermurah hati memberikan khidmat percuma mengeluarkan enjin dan bangku. Permaidani, rumput hiasan dan rak buku juga percuma.
“Saya mahu kembalikan nilai lama yang semakin dilupakan dan mengisi masa lapang kanak-kanak di sini. Sejak van dikosongkan, saya benarkan anak penduduk bermain di dalamnya. Mereka melihat sendiri perubahan rupa van ini dari mula dan teruja apabila ia dijadikan perpustakaan.
“Semuanya dilakukan sendiri dengan bantuan ahli keluarga dan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar sekolah. Buku yang diterima akan ditapis kandungannya, diperbaiki dan direkodkan. Kami tidak mahu terselit bahan bacaan berunsur lucah,” katanya.
Perpustakaan itu biasanya menjadi tumpuan pada waktu petang (selepas Asar) dan hujung minggu. Lebih menarik, ada penduduk yang menyediakan hidangan minum petang untuk mereka.
KELAINAN TIMBUL KESERONOKAN
“Anak saya cukup seronok setiap kali diberitahu akan ke perpustakaan ini. Semua tidak sabar hendak membelek buku. Keterujaan mereka seolah-olah mahu bermain di taman permainan.
“Sebenarnya sejak dulu saya memang suka bawa anak ke perpustakaan. Banyak perpustakaan yang kami pergi tetapi di sini anak saya paling selesa. Pertama kali datang, kami terus terpikat,” kata peguam, Wan Anuar Wan Hassan, 42.
Katanya, di perpustakaan yang dibuka dari jam 10 pagi hingga 6.30 petang itu, anaknya boleh berbaring-baring sambil membaca buku malah rak yang kecil dan rendah memudahkan mereka mencapai apa saja buku yang dihajati.
“Anak saya paling suka buku teladan dan mereka belajar banyak perkara mengenai adab. Ia secara tidak langsung memudahkan tugas saya dan isteri mendidik mereka,” katanya.
Guru sekolah, Raja Sakwani Raja Mohd Noor, 38, adalah antara pengunjung tetap perpustakaan van itu kerana di laluan ke sekolah anaknya.
“Saya tidak datang dengan keluarga sendiri saja. Biasanya saya bawa anak jiran bersama dan semuanya cukup seronok apabila berada di sini. Di perpustakaan ini mereka boleh bercakap dan bermain dengan selesa. Tidak ada peraturan atau sekatan seperti di perpustakaan lain.
“Penat membaca, mereka boleh meninjau Kebun Komuniti Desa Impian bersama opah (Siti Salamah) dan belajar mengenal sayur-sayuran,” sambungnya.
PUSAT AKTIVITI
“Paling seronok, sejak perpustakaan dibuka pada April lalu, aktiviti basikal lajak sudah berkurangan. Anak kita sebenarnya kekurangan aktiviti luar. Di sini mereka boleh belajar menjadi pustakawan dan sukarelawan.
“Mereka juga berminat apabila diajak ke kebun sayur dan melihat sendiri tumbuh-tumbuhan itu membesar. Kami beri mereka benih untuk ditanam di rumah. Tidak mengapa jika tanaman tidak menjadi, asalkan mencuba.
“Selain itu, kami turut adakan kelas Bahasa Jepun secara percuma di perpustakaan ini dalam kelas terbuka. Syukur ada penduduk dari taman sebelah yang mahu jadi guru sukarela. Kami rasa bersemangat melihat anak ini seronok belajar,” katanya.
Meja kecil di perpustakaan itu juga menjadi tempat Cikgu Ahmad mengajar kanak-kanak di situ meluaskan pengetahuan am dengan mengadakan kuiz mingguan dengan hadiah RM5. Bahkan, di situ juga dia mengajar mereka cara menabung dan membuat aiskrim Malaysia.
“Inilah kerja cikgu pencen, walaupun sudah bersara tetap mahu berbakti dengan cara sendiri. Moga-moga ia menjadi bekalan untuk menghadap Ilahi,” katanya.