KEBERGANTUNGAN zaman milenium terhadap teknologi seperti sudah tidak dapat dielakkan. Teknologi sudah menjadi asas yang menyempurnakan, malah hampir setiap urusan dapat dilestarikan dengan hanya menyentuh hujung jari pada skrin telefon pintar.
Baik dari segi pembelian seperti makanan, pakaian dan barangan keperluan seharian mahupun penjualan seperti produk kesihatan, kecantikan dan perkhidmatan, semuanya boleh didapati hanya dengan menggunakan capaian internet.
Jadi, tidak hairanlah setiap manusia masa kini boleh mendapatkan apa jua bentuk perkhidmatan yang dimahukan tanpa perlu keluar dari rumah atau mengeluarkan modal yang besar.
Ada juga yang tidak memerlukan modal walau sesen terutama dalam aspek pembelajaran berkaitan kemahiran hidup. Apa yang diperlukan cuma akses internet dan pastikan bil bulanan data telefon tidak tertangguh.
Menyentuh aspek perkongsian terutama soal kemahiran hidup dalam media sosial, Google Malaysia baru-baru ini mengadakan satu sesi panel Generation YouTube #GenYTMY bersama lima pencipta kandungan YouTube atau digelar YouTuber untuk berkongsi kisah dalam menyalurkan khidmat kepada pengguna.
Kesemua YouTuber itu terdiri daripada lima pakar variasi bidang iaitu Ili Sulaiman (masakan), Ng Wai Yee (kraf tangan), Iherng (hartanah), Jerry Wong (pemanduan) dan Spark Liang (kewangan).
Populariti
Gemar memasak sejak kecil membuatkan cef selebriti Ili Sulaiman menjadikan minatnya sebagai perkongsian bermanfaat bersama pengguna YouTube untuk mencuba pelbagai resepi berbeza setiap hari.
Motifnya cuma satu iaitu berkongsi dan sama sekali tidak pernah terfikir soal mencari populariti biarpun sedar ruang tersebut membuka banyak peluang untuk dikenali.
Hakikatnya, sebelum Ili dikenali menerusi program televisyen seperti Dari Mangkuk Tingkat Ili, dia terlebih dahulu membina nama atas usaha sendiri menerusi saluran YouTubenya, Dish by Ili.
Menyedari bahawa masyarakat Malaysia terutamanya sangat gemar dengan makanan membuatkan graduan dari Universiti Queen Mary, London dalam jurusan perniagaan itu memanfaatkan platform media sosial untuk berkomunikasi dengan pelanggan salurannya.
“Saya sangat suka apabila melihat respons yang baik-baik daripada pelayar internet kerana mereka sangat terinspirasi dengan gaya dan resepi masakan yang dikongsikan.
“Dari situ, saya bina keyakinan antara pengikut untuk mempercayai bahawa kemahiran yang dikongsikan dalam YouTube memberi manfaat kepada mereka untuk mencuba pelbagai menu baharu setiap hari,” katanya yang berkongsi video masakan dalam YouTube kerana ingin menerapkan amalan memasak di rumah dalam kalangan masyarakat.
Galakan pelajar
Berbeza dengan seorang pengajar sekolah memandu, Jerry Wong yang mula terjebak dalam dunia digital YouTube selepas diberi galakan oleh pelajarnya sendiri.
Kerap berdepan kesalahan yang dilakukan oleh pelajarnya setiap kali kelas memandu berlangsung mencetuskan idea untuk Jerry berkongsi panduan sebenar kepada semua orang.
“Kadang-kadang ada pelajar bertanya bermacam perkara dan disebabkan tempoh masa terhad membuatkan ilmu itu tidak dapat dikongsikan secara menyeluruh.
“Jadi, timbul idea untuk berkongsi ilmu yang saya ada bersama dengan orang ramai tanpa mengira lokasi. Di mana sahaja berada, mereka boleh belajar tentang cara pemanduan atau berkaitan kereta dengan betul hanya dengan menonton video,” katanya yang bergelar guru memandu di sebuah institut memandu di Sabah.
Antara perkongsian yang pernah dimuat naik dalam video Jerry adalah berhubung rutin sebelum memandu, menukar gear dan panduan berguna semasa pemeriksaan kenderaan.
Jerry hanya bermodalkan sebuah kamera kecil yang diletakkan di dalam keretanya untuk merakam video menunjukkan cara-cara pemanduan sebetulnya, sama seperti apa yang diajar di sekolah memandu. Bezanya, ilmu dikongsikan dalam format video.
Mula bergiat aktif dalam perkongsian video kemahiran hidup dalam YouTube sejak tahun 2016, Jerry kini memiliki lebih 15,000 pelanggan yang sentiasa menantikan perkongsian terbaharu daripadanya.
“Sampai sekarang saya masih menerima mesej daripada individu yang memberitahu bahawa mereka sudah lulus dalam ujian memandu.
“Apabila dapat memperbetulkan kesilapan, membantu dan mengajar mereka untuk lulus, itu adalah satu bentuk kepuasan untuk saya. Saya akan tetap berkongsi ilmu ini selagi bermanfaat kepada pengguna,” katanya.
Kuasa tular
Bagi wanita bergelar pereka kraf tangan, Ng Wai Yee, dia sama sekali tidak menyangka video pertama yang dimuat naik menerusi akaun YouTubenya pada 2014 menjadi titik tolak kepada perubahan hidupnya kini.
Hal ini kerana video tersebut dikongsikan oleh ramai orang sehingga tular, sekali gus menjadikan saluran YouTubenya, Skymagenta Craft dikenali bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tempatan bahkan luar negara.
“Awalnya saya bermula dengan hasrat untuk menjalankan perniagaan kraf secara atas talian. Kemudian, saya terdetik untuk berkongsi tutorial membuat barangan kraf demi berkongsi kemahiran dengan orang lain yang mempunyai minat serupa. Lama-kelamaan video saya mendapat sambutan luar jangkaan.
“Perkara paling membahagiakan adalah apabila mengetahui penonton menggambil rujukan daripada video tutorial saya untuk membuat barangan kraf kesukaan mereka,” katanya yang memasang impian untuk membuka kelas mempelajari kraf tidak lama lagi.
Bagi mana-mana individu yang berhasrat bergelar pencipta dalam laman sosial, Wai Yee mempunyai pesanan ringkas, namun penuh bermakna untuk disampaikan.
Katanya, jangan takut untuk melakukan apa jua eksperimen kerana setiap manusia tidak akan mengetahui sejauh mana kemampuan diri jika enggan mencuba.
“Kalau mahu buat sesuatu, lebih baik lakukan perkara yang anda suka. Minat boleh membuatkan kita teruja untuk meneroka dan membuat kajian terhadap perkara yang diminati,” ujarnya yang kini memiliki lebih 300,000 pelanggan dalam YouTube.
Lima pencipta kandungan tempatan berbicara mengenai perkongsian meliputi pelbagai aspek seperti kraf tangan, masakan, pemanduan, hartanah dan kewangan yang membantu pelayar internet mempelajari kemahiran hidup secara percuma dalam YouTube.