Padat berisi

Padat berisi

TERUJA. Itu yang dirasai pengunjung di Jengka Street di sini, semalam apabila mendapat sebotol air minuman teh O ais percuma tajaan Yeo’s dengan setiap pembelian naskhah akhbar Harian Metro (HM) sempena promosi wajah baharu akhbar berkenaan.

Promosi diketuai Pengurus Jabatan Jualan dan Percetakan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Pahang Hasruddin Hashim bersama lima kakitangan yang mendekati pembaca setia akhbar itu.

Sebahagian besar pembaca memberi maklum balas positif terhadap wajah baharu akhbar HM yang berusia 28 tahun itu sejak dilancarkan pada 16 September lalu.

Selain pengisian lebih padat, pembaca setia berpendapat, segmen yang ditampilkan lebih tersusun dan kemas dengan pelbagai isu diutarakan.

Suri rumah, Habibah Alias, 50, dari Perumahan Rantau Perntis di sini, berkata, dia pembaca setia HM dan membelinya sejak keluaran pertama.

“HM akhbar yang berbentuk tabloid ini mudah dibawa ke mana-mana berbanding akhbar lain ketika itu yang bersaiz lebih besar.

“Sekarang ini pun semua anak-anak saya membeli HM kerana tertarik dengan kepelbagaian isi kandungannya selain memenuhi cita rasa kami,” katanya.

Pembaca dari Kuala Krau, Temerloh, Zulhairi Mohd Karim, 40, berkata, HM sememangnya menjadi pilihannya sejak dulu kerana ia memaparkan pelbagai berita menarik selain berbeza dengan akhbar lain.

“Saya cadangkan HM mengembalikan semula ruangan Agro kerana bagi saya yang tinggal di luar bandar, saya amat meminati ruangan itu kerana ia memaparkan kejayaan petani selain teknologi baharu dalam pertanian,” katanya.

Peniaga kedai pakaian, Juhaizan Yahya, 46, berkata, dia sering membaca HM sementara menunggu pelanggannya.

“Saya mengisi masa terluang dengan membaca HM kerana ia dapat menambah pengetahuan melalui berita dan rencana yang dipaparkan.

“Wajah baharu HM ini lebih menarik, malah isi kandungannya juga padat,” katanya.

Bagi Mohd Mansor Harun, 37, dari Bandar Pusat, cara penulisan yang santai dengan tajuk menggunakan bahasa yang mudah difahami membuatkan dia tertarik untuk membaca HM.

“Kebanyakan golongan muda sangat menyukai berita setempat, kemasyarakatan, penyiasatan dan pembongkaran dengan cara penyampaian yang bersahaja dan tidak terlalu serius,” katanya yang membaca HM sejak di bangku sekolah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *