Pengarah Penjara negeri, Hamzani Che Brahim berkata, kerjasama itu akan dilaksanakan bermula tahun ini di dua penjara iaitu Penjara Pengkalan Chepa dan Penjara Machang.

Beliau berkata, pihak OUM kini dalam proses mencari dana supaya ia dapat dijalankan seawal mungkin.

“Ini adalah kerjasama pertama penjara di negeri ini dengan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk memberi peluang melanjutkan pelajaran kepada penghuni penjara.

“Kita menunggu sumber peruntukan dari agensi berkaitan dan OUM juga sedang mencari dana supaya ia dapat dilaksanakan.

“Kita akan memilih penghuni yang mempunyai keterampilan dan kesungguhan untuk belajar, di Penjara Pengkalan Chepa sendiri terdapat 100 banduan termasuk tahanan reman di bawah usia 21 tahun,” katanya selepas program Hijrah Kasih Siri Ke 8 2019 di Surau Sekolah Satelit, Penjara Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Program itu telah dirasmikan Timbalan Pengarah Pembangunan Dakwah dan Syiar Islam, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia, Shamsul Shah Tarja.

Yang turut hadir, Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Mat Yakob.

Seramai 65 banduan muda berusia antara 18 hingga 21 tahun menyertai program tiga hari bermula Selasa lalu.

Siri program Hijrah Kasih anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Jabatan Penjara telah diadakan sejak 2011 bermula di Sekolah Henry Gurney, Melaka bertujuan memberi input ilmu agama khususnya fardhu ain kepada banduan muda. – UTUSAN ONLINE