Hal ini kerana mereka beranggapan akan terlepas mendapat bantuan berkenaan jika mereka mendaftar perniagaan yang dijalankan.

Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kelantan, Anuar Mat Zain berkata, perkara itu juga dikesan terhadap peserta yang mengikuti kursus keusahawanan anjuran Kemas.

Katanya, pihaknya mengambil inisiatif melakukan pendaftaran SSM secara percuma untuk memberi kemudahan dalam bidang perniagaan yang diceburi mereka.

“Jika peniaga itu tidak ada sijil daftar SSM mereka akan terlepas peluang yang sediakan pihak kerajaan termasuklah tidak boleh mengikuti kursus dan syarat itu sudah ditetapkan Kementerian pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Peniaga yang mahu berjaya dalam perniagaan hendaklah memberi tumpuan sepenuh masa kepada bidang itu dan mengikuti kursus yang ditawarkan,” katanya ketika berucap merasmikan Kursus Asas Keusahawanan Alaf 21 di Kesedar Inn, di sini hari ini.

Tambah Anuar, setiap peniaga harus mengubah daya fikiran lama itu ke arah baharu yang lebih bergantung kepada bidang pemasaran berlandaskan teknologi terkini termasuklah dalam talian.

Katanya, budaya lama yang menjadi ikutan orang terdahulu hendaklah dilupakan supaya perniagaan lebih terbuka untuk menghadapi persaingan.

“Pihak Kemas mensasarkan untuk melatih 500 usahawan berdaya maju sepanjang tahun ini. Pada tahun ini juga seramai 313 peserta yang mengikuti 21 siri Kursus Asas Keusahawanan Alaf 21 secara berperingkat di semua kawasan parlimen di negeri ini.

“Kita menyediakan peruntukan RM800,000 bagi menjayakan program keusahawanan itu dan memberi pelbagai bantuan barangan termasuklah bantuan berskala besar Program Penambahan Pendapatan (PPP) sehingga RM10,000 untuk seorang peniaga,” katanya. – K! ONLINE